SEBAGAI generasi muda, perlu memikirkan negeri ini agar tidak jatuh di tangan orang yang tidak memiliki asas tauhid yang kuat.
Ini penting sebagai kayu ukur bagi suatu sistem pendidikan yang mampu
memberi pengaruh kepada ibu bapa serta anak di alam persekolahan.
Kisah Luqman Al Hakim dengan wasiatnya mampu menjadi rujukan buat ibu bapa dalam mendidik anak.
“Sesungguhnya, Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu , “Bersyukurlah
kepada ALLAH! Sesiapa bersyukur (kepada ALLAH, sesungguhnya dia
bersyukur untuk dirinya sendiri, dan sesiapa tidak bersyukur (kufur),
sesungguhnya ALLAH Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” (Surah Luqman:12)
Luqman hanyalah orang biasa dan bukan Nabi yang menyampaikan risalah.
Tetapi orang biasa ini disebut namanya oleh ALLAH SWT kerana memiliki
tauladan yang harus dicontohi ibu bapa.
“Sesungguhnya, Kami berikan hikmah...” Apa itu hikmah? Ada orang
berilmu tetapi tidak diberi hikmah. Namun, orang yang diberi hikmah
sudah pasti berilmu. Hikmah ertinya orang yang diberikan ALLAH SWT ilmu
bermanfaat untuk dia dan orang sekitarnya.
Manfaat itu adalah dalam bentuk amal soleh. Ciri-ciri orang yang
mendapat hikmah adalah banyak bersyukur. Bersyukur boleh membentuk
menilai diri.
Selanjutnya adalah berfikir akan hikmah di sebalik yang berlaku.
Barangkali ALLAH SWT ingin memberi sesuatu yang mungkin kita rasakan
tidak bermanfaat tetapi mempunyai hikmah yang besar di sebaliknya buat
kita.
“Sesiapa bersyukur (kepada ALLAH, sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri...” (Surah An-Naml: 40)
Suatu hari Daud AS bertanya kepada ALLAH SWT, “Ya ALLAH, bagaimana
caranya bersyukur lagi padahal aku boleh bersyukur kerana Engkau yang
memberi inspirasi kepada ku agar aku mampu bersyukur dan bagi ku diberi
inspirasi untuk bersyukur adalah kesyukuran besar buat ku.”
Ketika kamu bertaubat atas dosa mu, ini kerana ALLAH SWT sudah ampunkan
sebelum kamu bertaubat. Sehingga tergeraklah hati mu untuk bertaubat.
Dari mana rasa taubat itu datang?
Kerana kamu tahu kamu melakukan kesalahan. Kalau orang tidak tahu
dirinya salah maka pasti dia tidak ingin bertaubat, bukan? Jadi
dimampukan untuk bertaubat atau dimampukan untuk bersyukur itu kerana
ALLAH SWT yang memberikan nikmat.
Berbakti kepada ibu bapa adalah bentuk rasa syukur kepada ALLAH SWT.
Ibu bapa adalah tempatnya untuk dihormati dan ditaati selama tidak
bertentangan dengan ALLAH SWT.
Komunikasi dalam keluarga
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, sewaktu dia
memberi pengajaran kepadanya, “Wahai anak ku! Janganlah engkau
menyekutukan ALLAH, sesungguhnya mempersekutukan (ALLAH) itu adalah
benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Luqman:13).
Apakah bezanya antara kafir dan musyrik? Kafir itu adalah mengingkari
ALLAH SWT dan menyembah yang lain selain ALLAH SWT. Musyrik pula
menyembah ALLAH SWT tetapi pada masa sama juga menyembah yang lain
selain ALLAH SWT. Bentuk penyembahan itu boleh dicerminkan dalam rasa
cinta, takut, harap, dan juga rasa pasrah.
Jika ada manusia mencintai manusia lain lebih daripada cintanya kepada
ALLAH SWT, itu boleh dikatakan musyrik. Begitu juga manusia yang takut
kepada manusia lain melebihi rasa takutnya kepada ALLAH SWT. Dan yang
berharap kepada manusia lainnya melebihi rasa harapnya kepada ALLAH SWT.
“Sesungguhnya sesiapa mempersekutukan (sesuatu dengan) ALLAH, maka
sesungguhnya, ALLAH mengharamkan syurga baginya, dan tempatnya ialah
neraka. Dan tidak ada seorang penolong pun bagi orang zalim itu.” (Surah
Al-Ma’idah: 72).
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua
orang tuanya. Ibunya mengandungkannya dalam keadaan lemah yang
tersangat-sangat, dan menyapihnya ketika usia dua tahun. Bersyukurlah
kepada-Ku dan kepada kedua orang tua mu. Hanya kepada Aku kembalimu.”
(Surah Luqman:14)
Mengapa harus berbakti kepada ibu bapa? Kerana tanpa rahim ibu, kita
tidak mungkin ada di sini hingga sampai saat ini. Kerana tanpa ayah,
kita pun tidak akan jadi seperti ini. Atas dasar itu semua, sebetulnya
berbakti kepada ibu bapa adalah bentuk rasa syukur kita kepada ALLAH
SWT.
Melalui ibu bapalah, ALLAH SWT memberikan dan mencurahkan kasih
sayang-Nya kepada kita. Tetapi, bagaimana keadaannya jika ibu bapa
mengajak kepada kebatilan?
“Dan jika keduanya memaksa mu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu
yang engkau tidak mempunyai ilmu, maka janganlah engkau mentaati
keduanya, tetapi layanlah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah
jalan orang yang kembali kepada-Ku. Hanya kepada-Ku tempat kembali mu,
maka akan aku khabarkan kepada mu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah
Luqman:15).
“(Luqman berkata), “Wahai anakku! Sesungguhnya, jika ada (sesuatu
perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau
di bumi, nescaya ALLAH memberinya (balasan). Sesungguhnya ALLAH Maha
Halus, lagi Maha Teliti.” (Surah Luqman: 16)
Halus di sini bermaksud ilmu ALLAH SWT yang meliputi segala sesuatu
bahkan yang sangat kecil dan tidak terlihat sekalipun. Maksudnya, jika
ingin berbuat jahat, bermaksiat, berdusta, berzina, janganlah melakukan
di tempat yang ALLAH tidak dapat melihat. Ini tidak mungkin.
Oleh itu, walau sekecil mana dosa yang dilakukan semua itu menjadi
tanggungjawab kita di hadapan ALLAH SWT. Kita tidak akan pernah lepas
daripada pandangan ALLAH SWT. Dalam ayat ini, kita haruslah mempunyai
suatu perasaan yakni kita sentiasa diawasi oleh-Nya.
“Wahai anakku! Laksanakanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang
makruf dan cegahlah (mereka) daripada yang mungkar dan bersabarlah
terhadap apa yang menimpa mu, sesungguhnya yang demikian itu, termasuk
perkara penting.” (Surah Luqman: 17)
Tiga pesanan hikmah yang ada di dalam ayat ini ialah mendirikan solat,
mengerjakan amar makruf dan mencegah kemungkaran kemudian bersabarlah.
“Dan janganlah kamu memalingkan wajah mu daripada manusia (kerana
sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sesungguhnya,
ALLAH tidak menyukai orang yang sombong dan membanggakan diri.” (Surah
Luqman: 18)
“Dan sederhanakanlah dalam berjalan dan lunakkanlah suara mu.
Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Surah Luqman: 19)
Ayat di atas dapat disimpulkan nilai-nilai yang ditanam Luqman kepada
anaknya iaitu jangan menyekutukan ALLAH SWT, berbakti kepada ibi bapa,
berasa ALLAH SWT melihat gerak tingkah kita, mendirikan solat, berbuat
kebaikan dan mencegah kemungkaran, sabar, berakhlak mulia, tidak sombong
dan bersederhana ketika berjalan.
Hikmah dari nasihat Luqman
Bersyukurlah atas kurnia ALLAH SWT dan hormatilah kedua ibu bapa kita.
Ketika masih kecil, kita takut akan kehilangan kasih sayang seorang ibu.
Ketika itu, kita pernah memecahkan pasu bunga kesayangan ibu kemudian
kita takut dan menangis. Kita lantas memeluk ibu kita. Mengapa? Kerana
ketika itu kita tidak mahu kehilangan kasih sayang ibu.
Tetapi, apabila kita sudah dewasa, kita sudah menjadi orang yang bodoh.
Berapa ramai antara kita yang menuduh ibu kita jahat dam menghinanya?
Padahal, ketika kita kecil dulu apabila dimarahi ibu, kita lantas memeluk ibu.
Kedua ibu bapa kita adalah perantara daripada ALLAH SWT untuk kita di
dunia ini. Mereka adalah perantara yang paling jelas sebagai bentuk
kasih sayang ALLAH SWT kepada kita. Mereka mewakili kebaikan ALLAH SWT
dengan semua sifat-Nya.
Jika kita melihat ibu bapa kita, sebenarnya kita sedang melihat keagungan ALLAH SWT.
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya,
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan
(dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan
susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah
kepada Ku dan kepada kedua ibubapa mu dan (ingatlah), kepada Akulah jua
tempat kembali (untuk menerima balasan). " (Surah Luqman: 14)
Bersyukurlah kepada ALLAH SWT dengan beribadah dan tidak
mensyirikkan-Nya. Dan bersyukurlah kepada ibu bapa mu dengan cara
hormat, berbakti dan tidak menyakiti.
sumber:
http://www.sinarharian.com.my